Sektor Pelancongan merupakan salah satu penyumbang utama kepada pendapatan
dan pembangunan ekonomi negara. Menurut (Cheater, 1995) industri pelancongan
merupakan industri yang paling pantas berkembang di dunia serta mempengaruhi
pelbagai aspek di dunia meliputi sosio-politik, kewangan dan juga ekologi.
Laporan United Nation World Tourism Organization (UNWTO) menyatakan pada tahun
2011, industri ini telah menerima sejumlah 983 juta ketibaan pelancong dan
menyumbang sejumlah USD1,030 billion kepada pendapatan dunia. Kepentngan jumlah
kedatangan dan pendapatan yang tinggi ini kebanyakan negara termasuk Malaysia
berusaha meningkatkan ketibaan dan pendapatan pelancongan masing-masing melalui
pembangunan produk-produk pelancongan yang dimiliki. Tahun melawat Malaysia
yang pertama telah dilancarkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1990. Setelah
itu, jumlah pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat dari tahun ke
tahun. Pelancong merupakan tunjang utama dan pihak berkepentingan dalam memastikan
sektor pelancongan dapat digerakkan dan dimajukan dengan lebih pesat. Oleh itu,
tahun melawat malaysia yang kedua dan ketiga telah dilaksanakan pada tahun 1994
dan 2007. Manakala tahun 2014 pula menjadi tahun melawat Malaysia yang keempat
melalui kempen Malaysia Truly Asia.
Pelancongan juga menjadi satu bidang pelaburan baru yang
dapat memacu pertumbuhan industri-industri lain yang berperanan sebagai wahana
dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju menjelang tahun 2020. Dalam
sistem pelancongan, aspek yang perlu diberi penekanan adalah kewujudan
pelancong, pembekal barangan ataupun perkhidmatan pelancongan, kerajaan dan
juga tuan rumah destinasi yang terpilih. Keempat-empat elemen ini perlu
terlibat dalam mewujudkan sebuah industri pelancongan. Apabila seseorang
individu itu melancong, bermakna mereka adalah pelancong yang memerlukan
perkhidmatan seperti penginapan dan pengangkutan. Dalam sistem pelancongan
terdapat dua bahagian utama yang memainkan peranan dalam menentukan
perkembangan dan kemajuan dalam industri pelancongan iaitu bahagian pasaran dan
bahagian pembekalan.
Kepesatan peningkatan sektor pelancongan ini telah menyebabkan lebih banyak
prasarana disediakan untuk kemudahan para pelancong. Pada tahun 1970, kerajaan
Malaysia mula membangunkan industri pelancongan untuk memenuhi beberapa
objektif seperti peningkatan pendapatan dalam pertukaran mata wang asing,
meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan, menggalakkan pembangunan
kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan hasil kerajaan. Oleh itu,
secara tidak langsung banyak peluang pekerjaan telah ditawarkan kepada penduduk
tempatan samada dari segi buruh mahir atau kurang mahir. Justeru itu, ramai
penganggur mendapat pekerjaan dan masalah pengangguran dapat dikurangkan.
Industri pelancongan juga telah menggaji 1.7 juta pekerja atau hampir 16%
daripada jumlah guna tenaga pada tahun 2008 (RMK 10).
Dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-8, industri pelancongan mencapai
prestasi yang baik seperti ditunjukkan dalam kadar pertumbuhan ketibaan
pelancong dan pendapatan pelancongan. Peratusan pendapatan pelancongan daripada pendapatan akaun perkhidmatan dalam imbangan pembayaran
meningkat daripada 32.7 peratus pada tahun 2000 kepada 43.0 peratus pada tahun
2005. Dengan mengambil kira jumlah kemasukan pelancong asing dan rakyat
tempatan yang melancong ke luar negeri, sumbangan bersih pelancongan meningkat
daripada RM11.2 bilion kepada RM18.1 bilion dalam tempoh yang sama. Pembangunan
pelancongan juga menyumbang secara positif kepada perkembangan aktiviti dalam
subsektor terutamanya industri hotel, kembara dan siar, peruncitan dan restoran
serta pengangkutan. Hal ini menunjukkan sektor pelancongan memainkan peranan
yang penting dalam meningkatkan pendapatan negara dan mempunyai potensi untuk membangunkan
Malaysia menjadi sebuah negara maju (RMK
9). Hal ini terbukti apabila pada tahun 2008 Malaysia berada di kedudukan ke-16
dari segi pendapatan pelancongan dan turut menguasai hampir 2% daripada syer
pasaran global pada tahun tersebut (RMK
10). Antara tahun 2006 sehingga tahun 2009 ketibaan pelancong meningkat
sebanyak 43.6% kepada 23.6 juta orang dan industri pelancongan turut menjana
pendapatan sebanyak RM53.4 billion iaitu
meningkat sebanyak 67.1% dalam tempoh tahun yang sama (RMK
10).
Sememangnya sektor
pelancongan merupakan sektor yang semakin giat berkembang pada masa kini.
Banyak negara telah menfokus kepada sektor pelancongan supaya dapat dimajukan
dan dapat mengembangkan ekonomi negara. Hal ini kerana perbelanjaan pelancong
asing terutamanya menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara. Perkara ini
dipengaruhi oleh faktor kadar pertukaran mata wang asing yang lebih tinggi. Semakin
ramai ketibaan pelancong kesesuatu destinasi semakin banyak hasil pelancongan
diperoleh. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam usaha memajukan sektor
pelancongan negara. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan mahupun
pihak swasta utuk memajukan sektor ini. Secara umumnya ketibaan pelancong ke
Malaysia meningkat dari tahun ke tahun.
Sektor pelancongan sememangnya berkait rapat dengan pembangunan dan
penerokaan alam semula jadi. Secara langsung, sektor itu membuka banyak kawasan
semula jadi yang dahulunya tersorok dan tidak dikongsi oleh manusia. Ia
kemudiannya dibangunkan dan masyarakat di seluruh dunia mengunjunginya. Sebagai
contoh, di Malaysia, perubahan yang dialami oleh Pulau Langkawi akibat
perkembangan industri pelancongan amat ketara. Dua dekad lalu, Pulau Langkawi
hanya dihuni nelayan dan petani, persekitarannya dipenuhi dengan rumah-rumah
kayu dan hutan menghijau. Kini, Langkawi terkenal sebagai pusat perdagangan
bebas cukai yang dipenuhi bangunan-bangunan batu dan kereta menjalar. Walaupun
sebahagian rimba dan hutan semula jadi pantai di pulau itu masih kekal, tidak
bermakna ia tidak diusik.
Pembangunan industri pelancongan memberikan pelbagai kesan kepada Malaysia
samada berbentuk positif ataupun negatif. Kesan pembangunan pelancongan boleh
dibahagikan kepada ekonomi, alam sekitar dan sosio-ekonomi. Dari
segi ekonomi kesan pelancongan adalah positif kerana ia membantu dalam
pembangunan negara untuk menjadi lebih maju. Antara kesan ekonomi adalah meningkatkan
pendapatan negara, menarik lebih ramai pelabur asing, banyak prasarana
ditubuhkan untuk kemudahan pelancong, menyediakan peluang pekerjaan, guna
tenaga meningkat dan pengangguran dapat dikurangkan. Dari segi alam sekitar
pula pembangunan pelancongan memberi kesan seperti perubahan dalam komposisi flora dan fauna,
pencemaran persekitaran, hakisan tanah, sumber asli, impak penglihatan dan
sebagainya. Manakala dari segi sosio-ekonomi turut memberikan kesan seperti memupuk
persefahaman antara masyarakat sejagat, dapat mengetengahkan budaya
tradisional negara kita kepada pelancong-pelancong asing, memberi peluang
kepada masyarakat setempat untuk terlibat dalam aktiviti pelancongan disamping
meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. Pelancongan turut memberkan
kesan negatif kerana kedatangan pelancong mampu menghakis nilai-nilai murni
dalam kalangan masyarakat tempatan dan kes-kes jenayah akan meningkat akibat
daripada kedatangan pelancong asing.
Walaubagaimanapun kesan luaran negatif yang dihasilkan sektor pelancongan
adalah kurang serius berbanding sektor industri lain. Persatuan Pelancongan
Asia Pasifik (PATA) percaya industri pelancongan hanya akan berkembang lebih
pesat jika alam semula jadi dan kebudayaan dikekalkan dalam bentuk sebenarnya.
Keindahan alam, wajib dikekalkan kerana tanpanya, sukar untuk industri pelancongan
bergerak maju. Hal ini kerana antara faktor utama yang memotivasikan pelancong
untuk melancong adalah keindahan alam semuladi yang dimiliki oleh destinasi
pelancongan. Secara keseluruhannya sektor pelancongan telah menyumbangkan pelabagai faedah untuk memajukan Malaysia. Setelah kerajaan mengambil langkah untuk memajukan sektor ini didapati sumbangannya kepada pendapatan negara meningkat dari tahun ke tahun. Oleh itu adalah amat penting sektor ini digiatkan lagi usaha untuk dimajukan sehingga dikenali dimata dunia supaya pelancong antarbangsa dari pelbagai negara di dunia tertarik untuk melancong ke Malaysia.