Thursday 20 March 2014

PELANCONGAN DAN KESANNYA

Sektor Pelancongan merupakan salah satu penyumbang utama kepada pendapatan dan pembangunan ekonomi negara. Menurut (Cheater, 1995) industri pelancongan merupakan industri yang paling pantas berkembang di dunia serta mempengaruhi pelbagai aspek di dunia meliputi sosio-politik, kewangan dan juga ekologi. Laporan United Nation World Tourism Organization (UNWTO) menyatakan pada tahun 2011, industri ini telah menerima sejumlah 983 juta ketibaan pelancong dan menyumbang sejumlah USD1,030 billion kepada pendapatan dunia. Kepentngan jumlah kedatangan dan pendapatan yang tinggi ini kebanyakan negara termasuk Malaysia berusaha meningkatkan ketibaan dan pendapatan pelancongan masing-masing melalui pembangunan produk-produk pelancongan yang dimiliki. Tahun melawat Malaysia yang pertama telah dilancarkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1990. Setelah itu, jumlah pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Pelancong merupakan tunjang utama dan pihak berkepentingan dalam memastikan sektor pelancongan dapat digerakkan dan dimajukan dengan lebih pesat. Oleh itu, tahun melawat malaysia yang kedua dan ketiga telah dilaksanakan pada tahun 1994 dan 2007. Manakala tahun 2014 pula menjadi tahun melawat Malaysia yang keempat melalui kempen Malaysia Truly Asia.

Pelancongan juga menjadi satu bidang pelaburan baru yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri lain yang berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju menjelang tahun 2020. Dalam sistem pelancongan, aspek yang perlu diberi penekanan adalah kewujudan pelancong, pembekal barangan ataupun perkhidmatan pelancongan, kerajaan dan juga tuan rumah destinasi yang terpilih. Keempat-empat elemen ini perlu terlibat dalam mewujudkan sebuah industri pelancongan. Apabila seseorang individu itu melancong, bermakna mereka adalah pelancong yang memerlukan perkhidmatan seperti penginapan dan pengangkutan. Dalam sistem pelancongan terdapat dua bahagian utama yang memainkan peranan dalam menentukan perkembangan dan kemajuan dalam industri pelancongan iaitu bahagian pasaran dan bahagian pembekalan. 

Kepesatan peningkatan sektor pelancongan ini telah menyebabkan lebih banyak prasarana disediakan untuk kemudahan para pelancong. Pada tahun 1970, kerajaan Malaysia mula membangunkan industri pelancongan untuk memenuhi beberapa objektif seperti peningkatan pendapatan dalam pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan, menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan hasil kerajaan. Oleh itu, secara tidak langsung banyak peluang pekerjaan telah ditawarkan kepada penduduk tempatan samada dari segi buruh mahir atau kurang mahir. Justeru itu, ramai penganggur mendapat pekerjaan dan masalah pengangguran dapat dikurangkan. Industri pelancongan juga telah menggaji 1.7 juta pekerja atau hampir 16% daripada jumlah guna tenaga pada tahun 2008 (RMK 10).
Dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-8, industri pelancongan mencapai prestasi yang baik seperti ditunjukkan dalam kadar pertumbuhan ketibaan pelancong dan pendapatan pelancongan. Peratusan pendapatan pelancongan daripada pendapatan akaun perkhidmatan dalam imbangan pembayaran meningkat daripada 32.7 peratus pada tahun 2000 kepada 43.0 peratus pada tahun 2005. Dengan mengambil kira jumlah kemasukan pelancong asing dan rakyat tempatan yang melancong ke luar negeri, sumbangan bersih pelancongan meningkat daripada RM11.2 bilion kepada RM18.1 bilion dalam tempoh yang sama. Pembangunan pelancongan juga menyumbang secara positif kepada perkembangan aktiviti dalam subsektor terutamanya industri hotel, kembara dan siar, peruncitan dan restoran serta pengangkutan. Hal ini menunjukkan sektor pelancongan memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan pendapatan negara dan mempunyai potensi untuk membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara maju (RMK 9). Hal ini terbukti apabila pada tahun 2008 Malaysia berada di kedudukan ke-16 dari segi pendapatan pelancongan dan turut menguasai hampir 2% daripada syer pasaran global pada tahun tersebut (RMK 10). Antara tahun 2006 sehingga tahun 2009 ketibaan pelancong meningkat sebanyak 43.6% kepada 23.6 juta orang dan industri pelancongan turut menjana pendapatan sebanyak  RM53.4 billion iaitu meningkat sebanyak 67.1% dalam tempoh tahun yang sama (RMK 10).
        Sememangnya sektor pelancongan merupakan sektor yang semakin giat berkembang pada masa kini. Banyak negara telah menfokus kepada sektor pelancongan supaya dapat dimajukan dan dapat mengembangkan ekonomi negara. Hal ini kerana perbelanjaan pelancong asing terutamanya menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara. Perkara ini dipengaruhi oleh faktor kadar pertukaran mata wang asing yang lebih tinggi. Semakin ramai ketibaan pelancong kesesuatu destinasi semakin banyak hasil pelancongan diperoleh. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam usaha memajukan sektor pelancongan negara. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan mahupun pihak swasta utuk memajukan sektor ini. Secara umumnya ketibaan pelancong ke Malaysia meningkat dari tahun ke tahun.
Sektor pelancongan sememangnya berkait rapat dengan pembangunan dan penerokaan alam semula jadi. Secara langsung, sektor itu membuka banyak kawasan semula jadi yang dahulunya tersorok dan tidak dikongsi oleh manusia. Ia kemudiannya dibangunkan dan masyarakat di seluruh dunia mengunjunginya. Sebagai contoh, di Malaysia, perubahan yang dialami oleh Pulau Langkawi akibat perkembangan industri pelancongan amat ketara. Dua dekad lalu, Pulau Langkawi hanya dihuni nelayan dan petani, persekitarannya dipenuhi dengan rumah-rumah kayu dan hutan menghijau. Kini, Langkawi terkenal sebagai pusat perdagangan bebas cukai yang dipenuhi bangunan-bangunan batu dan kereta menjalar. Walaupun sebahagian rimba dan hutan semula jadi pantai di pulau itu masih kekal, tidak bermakna ia tidak diusik.
Pembangunan industri pelancongan memberikan pelbagai kesan kepada Malaysia samada berbentuk positif ataupun negatif. Kesan pembangunan pelancongan boleh dibahagikan kepada ekonomi, alam sekitar dan sosio-ekonomi. Dari segi ekonomi kesan pelancongan adalah positif kerana ia membantu dalam pembangunan negara untuk menjadi lebih maju. Antara kesan ekonomi adalah meningkatkan pendapatan negara, menarik lebih ramai pelabur asing, banyak prasarana ditubuhkan untuk kemudahan pelancong, menyediakan peluang pekerjaan, guna tenaga meningkat dan pengangguran dapat dikurangkan. Dari segi alam sekitar pula pembangunan pelancongan memberi kesan seperti  perubahan dalam komposisi flora dan fauna, pencemaran persekitaran, hakisan tanah, sumber asli, impak penglihatan dan sebagainya. Manakala dari segi sosio-ekonomi turut memberikan kesan seperti memupuk persefahaman antara masyarakat sejagat, dapat mengetengahkan budaya tradisional negara kita kepada pelancong-pelancong asing, memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk terlibat dalam aktiviti pelancongan disamping meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. Pelancongan turut memberkan kesan negatif kerana kedatangan pelancong mampu menghakis nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat tempatan dan kes-kes jenayah akan meningkat akibat daripada kedatangan pelancong asing.
Walaubagaimanapun kesan luaran negatif yang dihasilkan sektor pelancongan adalah kurang serius berbanding sektor industri lain. Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) percaya industri pelancongan hanya akan berkembang lebih pesat jika alam semula jadi dan kebudayaan dikekalkan dalam bentuk sebenarnya. Keindahan alam, wajib dikekalkan kerana tanpanya, sukar untuk industri pelancongan bergerak maju. Hal ini kerana antara faktor utama yang memotivasikan pelancong untuk melancong adalah keindahan alam semuladi yang dimiliki oleh destinasi pelancongan. Secara keseluruhannya sektor pelancongan telah menyumbangkan pelabagai faedah untuk memajukan Malaysia. Setelah kerajaan mengambil langkah untuk memajukan sektor ini didapati sumbangannya kepada pendapatan negara meningkat dari tahun ke tahun. Oleh itu adalah amat penting sektor ini digiatkan lagi usaha untuk dimajukan sehingga dikenali dimata dunia supaya pelancong antarbangsa dari pelbagai negara di dunia tertarik untuk melancong ke Malaysia.